Monday 24 June 2013

PANDUAN PEMILIHAN GAYA TUDUNG YANG SESUAI


Penampilan bertudung yang cantik, kemas, dan elegen boleh mengundang tumpuan ramai. Tambahan pula tudung yang dipakai bersesuaian dengan pakaian yang dikenakan. Pada zaman kini, pelbagai pilihan tudung dari pelbagai jenis fabrik boleh dipilih oleh anda mengikut keselesaan sendiri seperti fabrik jersi, kapas, lycra, sutera serta benang bulu. Cara dan gaya tudung yang dikenakan harus mementingkan kekemasan dan keselesaan kepada anda kerana ia melambangkan keperibadian seseorang. Penampilan bertudung ini juga perlu diselaraskan mengikut beberapa faktor penting iaitu faktor majlis, jenis pakaian, dan warna pakaian.

Majlis : Anda perlu memastikan sama ada majlis yang ingin dihadiri adalah majlis formal atau majlis tidak formal. Hal ini kerana, dalam majlis formal anda perlu kelihatan lebih eksklusif dan tampak elegan. Manakala dalam majlis tidak formal seperti bersama kawan-kawan, gaya pemakaian tudung boleh la lebih kelihatan santai dan kemas.

Jenis pakaian : Tudung yang hendak dipadankan dengan pakaian mestilah berdasarkan jenis pakaian itu sama ada dari fabrik bercorak atau tidak. Kebiasaanya, apabila pakaian yang dikenakan tidak mempunyai corak atau polos, tudung yang menjadi pilihan adalah tudung yang bercorak dan begitulah sebaliknya.

Warna pakaian : Kebiasaannya warna tudung yang hendak dipadankan dengan pakaian mestilah sama dengan warna pakaian tersebut. Pilihan warna tudung yang senada dengan pakaian yang dipakai lebih mengikut warna corak yang ada pada baju.


Panduan Mengenai Pemilihan Gaya Tudung Mengikut Bentuk Wajah

Bentuk wajah bujur
Wanita yang memiliki bentuk wajah bujur bebas memilih sebarang gaya tudung.
Jika anda penggemar selendang, bebas memakai apa juga jenis selendang sama ada daripada fabrik kapas, sifon atau net. Begitu juga dengan tudung siap bersengkuap atau jenis Syria.
Bentuk muka bujur

Bentuk muka berpetak
Ciri-ciri bentuk muka berpetak adalah lebih lebar di antara pelipis manakala tulang rahang dapat dilihat dengan jelas namun bahagian dagu kelihatan samar.
Dalam mengenakan tudung, pastikan tulang rahang dapat disembunyikan di sebalik tudung.
Gunakan anak tudung supaya kesan bentuk wajah nampak memanjang. Jika ingin memakai selendang, perlu bijak menggayakannya. Elakkan gaya ikatan Bienda atau ikatan di belakang tengkuk kerana gaya ini tidak mampu menyembunyikan bahagian tulang rahang yang lebar. Pilih gaya selendang yang menjurus kepada lilitan dan menutupi rahang. Tudung siap bersengkuap juga sesuai dengan bentuk muka berpetak.
Bentuk Muka Berpetak

Bentuk muka panjang
Mereka yang mempunyai bentuk muka panjang ini dicirikan dengan dagu yang panjang. Bezanya adalah bentuk kening yang lonjong dan relatif lebih tinggi dengan jarak pelipis yang sama dengan jarak rahang. Bagi mengurangkan kedudukan kening yang tinggi, disarankan menggunakan anak tudung yang kedudukannya diletakkan ke bawah sedikit sehingga menutupi bahagian kening.
Penggunaan anak tudung Syria bersama selendang adalah disarankan kerana ia dapat membantu menutup sedikit bahagian kening yang tinggi. Seperti mereka yang mempunyai bentuk muka bujur, semua jenis selendang sesuai digayakan.
Bentuk muka panjang

Bentuk segi tiga
Dagu panjang adalah ciri utama bentuk muka segi tiga, ditambah dengan jarak pelipis yang lebih lebar dibandingkan pangkal rahang. Gunakan tudung yang ditarik sejauh mungkin ke belakang dan bertemu di tengkuk agar bahagian rahang tampak terbuka. Untuk mengisi bahagian yang kosong di sebelah kiri dan kanan telinga disarankan menggunakan anak tudung seperti net. Bagi membolehkan bahagian kening terangkat, gunakan cekak lembut sebelum menggunakan anak tudung. Buat mereka yang mempunyai bentuk muka segi tiga penggunaan selendang bukan satu masalah kerana mereka menghampiri bentuk muka bujur. Bagaimanapun, pastikan cara pemakaian selendang dapat menutupi kekurangan wajah. Paling sesuai adalah gaya pintalan atau gaya sanggul kerana ia dapat membuatkan bahagian rahang tampak lebih terbuka.
Bentuk muka segitiga

Bentuk muka bulat
Mereka yang mempunyai bentuk wajah bulat disarankan menggunakan cekak lembut terlebih dulu sebelum memakai anak tudung. Pilih anak tudung diperbuat daripada bahan yang lebih anjal supaya ukuran kepala tidak kelihatan bertambah. Pilih selendang daripada fabrik nipis agar ukuran kepala tidak terlalu kelihatan. Selendang nipis atau mini sangat sesuai digayakan. Bagaimanapun, disarankan menggunakan anak tudung bawal sebelum mengenakannya agar bentuk muka kelihatan bujur.
Bentuk Muka Bulat



No comments:

Post a Comment